Tuesday 28 October 2008

Mengurus Perubahan Dalam Organisasi


Tajuk Buku : Mengurus Perubahan Dalam Organisasi
Penulis : Abd Aziz Yusof
Penerbit : Arah Publications Sdn. Bhd.
Pengulas : Mohd. Aidil Riduan Awang

Buku ini memberikan jalan keluar kepada permasalahan menangani perubahan di dalam organisasi iaitu dengan cara menguruskan manusia terlebih dahulu sebelum perubahan lain dilakukan. Menangani emosi dan pendekatan untukmengambil hati pekerja harus diutamakan terlebih dahulu demi menjayakan perubahan yang diinginkan oleh pemimpin atau pengurus sesebuah syarikat.

Jalan keluar ini disarankan kerana masalah mengurus perubahan bukanlah cerita baharu di dalam sesebuah organisasi tetapi acap kali dibicarakan di kalangan tokoh pengurusan dan kepimpinan dunia. Banyak organisasi gagal menguruskan perubahan dalam organisasi masing-masing kerana tidak memahami dimensi perubahan yang hendak dilakukan.

Dalam hal ini, Stephen R. Covey pernah menjelaskan bahawa terdapat empat dimensi semula jadi manusia iaitu dimensi fizikal, rohani, mental dan sosio-emosi. Keempat-empat dimensi ini perlu dibangunkan pada setiap masa.

Oleh itu, organisasi perlu memastikan sumber tenaga manusia yang berada di dalam organisasi agar tidak mengalami kepincangan akibat daripada pembangunan yang tidak seimbang kesan daripada perubahan yang dilakukan.

Menyedari betapa signifikannya dimensi kemanusiaan dalam melaksanakan perubahan organisasi, hal ini menarik minat ahli akademik dan pengamal terutama kepimpinan organisasi untuk mengkaji aspek ini dengan lebih mendalam.

Oleh sebab itu, kepimpinan organisasi yang merupakan faktro utama dalam menjana perubahan turut memberikan keprihatinan yang tinggi kerana perubahan yang dilakukan oleh mereka sering menemukan kegagalan.


Dalam banyak keadaan, perubahan yang diperkenalkan bukan setakat tidak berjaya mencapai matlamat seperti yang diharapkan tetapi terus berhadapan dengan permasalahan baharu.

Keadaan ini berlaku kerana pemimpinan bertindak sebagai pemikir, pelaksana dan penilai kepada perubahan yang dilakukan telah bertindak tanpa mengambil kira jangkaan, keperluan dan tuntutan pekerja yang menerima kesan langsung daripada perubahan yang dilakukan.

Oleh sebab itu, focus kepimpinan organisasi mula beralih iaitu tidak hanya mencari ramuan dan menyediakan resepi kepada permasalahan tetapi juga mengutamakan selera, cita rasa dan keperluan dalaman pekerja.

Dengan perkataan lain, berlaku anjakan paradigma terhadap perubahan yang sebelum ini hanya dilihat dari perspektif strategic, teknikal dan pulangan “tangibles” kepada perspektif yang lebih menyeluruh dengan memberikan tumpuan kepada dimensi kemanusiaan yang melibatkan pulangan “intangibles”.

Keperluan kepada dimensi kemanusiaan telah membangkitkan kesedaran baharu. Mereka mulai sedar bahawa mengurus perubahan berkait rapat dengan pengurusan kognitif dan emosi pekerja yang terlibat.

Aspek-aspek ini oerlu diurus dengan sebaik-baik mungkin kerana turut berperanan dalam menentukan kejayaan atau kegagalan perubahan yang diperkenalkan oleh pemimpin.

Persekitaran kerja yang mempunyai dimensi kemanusiaan yang tinggi akan membangunkan situasi menag-menang untuk kedua-dua pihak iaitu pekerja dan organisasi. Jika kepuasan pekerja terhadap pekerjaan yang dilakukan adalah tinggi maka secara langsung hal ini akan memberikan impak kepada kemajuan organisasi.

Pemimpin perlu ingat, kepuasan peribadi dan semangat kerja yang tinggi ialah ramuan utama kepada pencapaian kerja yang terbaik. Dengan perkataan lain, jika nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh pekerja diurus dengan baik serta diletak di tempat yang tepat, sudah tentu pulangan kewangan hasil daripada perubahan yang dilakukan pasti membanggakan.

Sumber : Dewan Ekonomi September 2008 Mukasurat 63.