Friday 14 November 2008

Pemikiran Hamka



Tajuk Buku : Pemikiran Hamka
Penulis : Sidek Baba
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Suria Janib

HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir pada 17 Februari 1908 di Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Sejak berusia belasan tahun, Hamka menunjukkan minat membaca dan menulis terutama karya sastera dan sejarah.

Pengalamannya bergiat aktif dalam Parti Sarekat Islam serta Muhammadiyah, digunakan sebaik­-baiknya oleh Hamka dalam tulisannya. Antara buku terawal beliau ialah Si Sabariyah dan Laila Majnun.

Ketika berusia 19 tahun, Hamka menunaikan haji di Makkah. Beliau tinggal dan bekerja di sebuah kilang cetak di kota suci itu selama enam bulan. Peluang tersebut digunakan Hamka untuk membaca, menulis, dan menguasai bahasa Arab.

Pemikiran awal Hamka dapat diikuti menerusi penulisannya dalam majalah Pedoman Masyarakat sehingga melahirkan karya besar seperti Tasawuf Moden, Falsafah Hidup, Lembaga Hidup, dan Lembaga Budi yang dikategorikan sebagai buku agama. Di samping itu, lahir beberapa buah karya sasteranya yang agung seperti Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Majalah Pedoman Masyarakat terhenti ketika berlaku Perang Dunia Kedua dan kemasukan bala tentera Jepun. Selama tiga setengah tahun di bawah pemerintahan Jepun, Hamka mencurahkan perhatiannya dengan memimpin Muhammadiyah Sumatera Timur. Hamka turut aktif berjuang bersama-sama pemimpin Indonesia yang lain menuntut kemerdekaan Indonesia.

Pada 1945, setelah Jepun menyerah kalah akibat pengguguran bom di Hiroshima, Indonesia mencapai kemerdekaan. Ketika itu Hamka tidak lagi menjadi Ketua Muhammadiyah di Medan. Beliau dan isteri serta enam orang anaknya pulang ke Padang Panjang. Selain menguasai mata pena, beliau meneruskan perjuangannya menentang Belanda pada 1945-1949. Beliau dipilih oleh wakil Presiden, Mohammad Hatta sebagai Secretaris Front Pertahanan Nasional iaitu perhimpunan parti politik di Sumatera Barat yang berusaha melawan Belanda. Beliau juga menubuhkan Badan Pembe1a Negara dan Kota yang menghimpunkan pasukan rakyat melawan Belanda secara gerila.

Pada 1949, Belanda mengisytiharkan kedaulatan Indonesia. Perjuangan Hamka diteruskan menerusi pedang pena walaupun Indonesia sudah mencapai kemerdekaan. Pada awal 1950-an, semua buku Hamka termasuk buku sastera dan buku agama menjadi rebutan penerbit untuk diulang cetak atas permintaan pembaca yang menggalakkan. Hamka semakin giat menu1is karyanya di samping memenuhi undangan melakukan dakwah Islam. Pada Pilihan Raya Umum Pertama Indonesia pada 1955, Hamka terpilih menjadi anggota Dewan Konstituante dari Parti Islam Masyumi. Walaupun beliau tidak berperanan dalam dewan pimpinan, Hamka giat menggerakkan rakyat Indonesia menyokong Masyumi melawan Parti Komunis yang agresif menyebarkan fahaman ateis dalam kalangan rakyat Indonesia.

Pada 1959, akibat pemberontakan di Sumatera Barat yang melibatkan pemimpin Masyumi seperti Mohammad Natsir dan Syafruddin Prawiranegara, parti itu dibubarkan Presiden Soekarno yang ketika itu rapat dengan golongan komunis.

Sekali lagi pemikiran Hamka teruji ketika beliau menerbitkan majalah Panji Masyarakat, sebuah majalah yang mengutamakan dakwah dan kebudayaan. Ketajaman pena Hamka yang mengkritik Presiden Indonesia, Soekamo ketika itu menyebabkan majalah Panji Masyarakat diharamkan.

Pada 27 Ogos 1964, Hamka disumbatkan ke dalam penjara atas tuduhan percubaan membunuh Soekarno serta cuba mendapatkan bantuan kewangan daripada Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman ketika itu.

Meskipun tuduhan tersebut gagal dibuktikan, Hamka tetap dikenakan hukuman penjara dan dibebaskan setelah kejatuhan Soekarno dan pembubaran Parti Komunis oleh pemerintah Orde Baham, Soeharto.

Walaupun dipenjarakan kira-kira tiga tahun, penulisan Hamka tidak terhenti sehinggalah ke akhir hayatnya. Pada 8 Jun 1974, Hamka dianugerahi Doktor Kehormatan Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disampaikan oleh Rektor UKM, Tun Razak.

Hamka meninggal dunia ketika berumur 73 tahun selepas selesai mengerjakan sembahyang sunat terawih di Masjid al-Azhar, pada 24 Ju1ai 1981 kerana serangan jantung, setelah dirawat beberapa hari di hospital.

Sumber : Dewan Masyarakat November 2008