Friday 24 April 2009

Triliguo Bagaikan Puteri



Judul 1 : Bagaikan Puteri
Halaman : 578 mukasurat
ISBN : 983-124-214-9

Judul 2 : Cinta Sang Ratu
Halaman : 554 mukasurat
ISBN : 983-124-278-5

Judul 3 : Hijab Sang Pencinta
Halaman : 510 mukasurat
ISBN : 978-983-124-385-5

Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.

Triliguo Bagaikan Puteri adalah "buah tangan" Ramlee Awang Murshid yang luar biasa. Tidak dapat dinafikan, karya beliau yang ini telah mengangkat nama beliau ke satu tahap yang jauh lebih baik daripada sebelumnya. Buktinya, Hijab Sang Pencinta yang merupakan pelengkap triliguo ini dan yang dinantikan oleh para peminat Ramlee telah beberapa kali mengungguli carta buku terlaris MPH dan Popular selepas pelancarannya pada tahun lalu.

Triliguo Bagaikan Puteri adalah cerita epik thriller yang mengisahkan dengan begitu menarik sekali perhubungan dan kaitan antara tiga watak utamanya iaitu Haryani, Dani dan Laksamana Sunan @ Saifudin. Haryani dan Dani merupakan dua anak muda masa kini sementara Saifudin pula adalah seorang pemuda zaman kurun ke-15. Saifudin dikisahkan sebagai seorang yang alim dan tinggi ilmu agamanya. Beliau juga mahir dalam seni mempertahankan diri. Beliau yang berasal dari Tanah Melayu merantau ke Aceh dan berguru dengan Wali Sufi. Saifudin merupakan antara anak murid Wali Sufi yang terbaik. Beliau diamanahkan untuk menentang segala kejahatan dan mempertahankan bumi Aceh daripada sebarang serangan atau malapetaka.

Kekuatan triliguo ini adalah pada kebijaksanaan penulis menggunakan plot merentasi sempadan masa. Tiga watak utama yang datang dari dua kurun yang berbeza ditemukan, membuatkan pembaca akan terus teruja untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Berikut, saya catatkan beberapa elemen yang menarik tentang triliguo ini menurut perspektif saya :

1. Debaran awal Triliguo Bagaikan Puteri bermula apabila Hasanal, kenalan papa Haryani menghadiahkan sebuah mushaf lama yang dibelinya daripada seorang rakan. Pada bahagian bawah mushaf tersebut tertulis "Kamu bagaikan puteri... Haryani". Keluarga Haryani agak terperanjat dengan tulisan itu dan bertanyakan kepada Haryani kalau dia ada kaitan dengan mushaf tersebut.

2. Haryani bertemu dengan Saifudin ketika beliau dalam keadaan koma akibat kecederaan ketika terjatuh semasa diragut. Roh Haryani terperangkap dalam kurun ke-15.

3. Dani pula mengalami satu perasaan yang luar biasa kerana jatuh cinta pandang pertama kepada Haryani walau pun pada masa itu Haryani terlantar koma di hospital.

4. Haryani sedar daripada koma ketika sudah dikebumikan. Haryani disahkan mati oleh doktor yang merawat beliau kerana sepanjang tempoh koma, Haryani tidak menunjukkan reaksi positif untuk kembali sedar. Suara tangisan Haryani dari dalam kubur didengari oleh Dani.

5. Dani merupakan keturunan Megat, abang kepada Saifudin. Dani juga memiliki satu kelebihan luar biasa kerana mampu berkomunikasi dengan roh Haryani semasa Haryani koma.

6. Saifudin berkahwin dengan Ratu Sulaman iaitu Ratna yang merupakan anak asuhan Maharani yang jahat dan memusuhi Saifudin. Saifudin berjaya melembutkan hati Ratna lalu mengahwininya kerana Ratna ingin terus mempelajari Islam. Ratna menemui ajal ketika pertempuran antara Saifudin dan Maharani berlaku.

7. Dani merentasi sempadan masa dan berada dalam kurun ke-15. Rohnya terperangkap dalam badan Senggara, raksaksa suruhan Maharani. Dani bertemu dengan Saifudin ketika bertempur dan tewas di tangan Saifudin lantas balik semula ke kurun-21.

8. Saifudin turut merentasi sempadan masa dan berada dalam kurun ke-21 tanpa beliau sedari setelah beliau tertidur di dalam gua berhampiran kampung beliau di Kampung Punggor, Johor kerana bersembunyi daripada orang-orang suruhan Sultan Melaka.

9. Ruqyah Syar'iyah yang dibaca oleh Saifudin untuk membongkar kejahatan ketua ajaran sesat, Ibnu Misad yang berupaya mengghaibkan dirinya daripada pandangan mata kasar adalah ayat-ayat al-Quran yang digunakan dalam perubatan Islam terutama yang melibatkan gangguan makhluk halus.

10. Penulis bijak mengetengahkan nama-nama yang biasa kita dengar sama ada melalui kisah dongeng atau sememangnya benar-benar wujud menjadi watak-watak jahat seperti Beragas, Nyi Burga Kelara, Balan, Ifrit, Manggala dan Ratu Sulaman.

11. Triliguo ini diakhiri dengan detik-detik pernikahan Saifudin dan Haryani yang mendebarkan dan penuh suspen.

Sebagai salah seorang peminat karya Ramlee Awang Murshid, saya merasakan Triliguo Bagaikan Puteri adalah "hadiah" beliau paling istimewa buat para peminatnya. Kebijaksanaan beliau menggunakan plot merentasi sempadan masa memberikan satu dimensi yang lain kepada pembaca.

Pengakhiran cerita yang di luar jangka sememangnya sudah saya jangkakan kerana Ramlee gemar membuat "pengakhiran" dengan satu "permulaan".

Kepada mereka yang inginkan sesuatu yang luar biasa, thriller, suspen, penuh aksi tetapi Islami, Triliguo Bagaikan Puteri adalah pilihan yang terbaik untuk dibaca.

Saya juga berpendapat triliguo ini wajar diketengahkan ke layar perak sama ada dilakonkan seperti Puteri Gunung Ledang atau menggunakan teknik animasi tiga dimensi (3D) seperti Upin & Ipin.

Syabas buat Ramlee Awang Murshid dan semoga terus berkarya.