Saturday 30 May 2009

Mikhail


Judul : Mikhail
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn Bhd
Halaman : 494 mukasurat
ISBN : 978-983-124-432-6


Seusai membaca Mikhail seolah-olah saya baru selesai menonton satu siri wayang gambar genre thriller kerana watak utamanya Mikhail berketrampilan ala-ala watak Bourne, sebuah filem Barat yang ditayangkan dalam tiga episod iaitu The Bourne Identity, The Bourne Supremacy dan The Bourne Ultimatum. Yang membezakan watak Bourne dan Mikhail adalah asal-usul Mikhail aka Mikhail 155 aka Mahmud Fadzil yang berasal dari Malaysia berketurunan Melayu dan beragama Islam.Walaupun Mikhail dibesarkan dalam suasana yang bertentangan dengan Islam namun naluri kemanusiaan Mikhail masih tebal dan menjadi penghalang baginya bertindak di luar batasan.

Mikhail yang dibesarkan untuk menjadi pembunuh upahan dipertanggungjawabkan untuk membunuh mereka yang terlibat dalam pembunuhan Tuan Sadon yang kononnya ayah kepada Mikhail. Kesemua sasaran Mikhail adalah orang Malaysia.

Namun, sebagai manusia juga, Mikhail tidak terlepas daripada jatuh cinta. Cuma yang peliknya Mikhail jatuh cinta pada orang yang menjadi sasarannya untuk dibunuh. Kegagalan Mikhail untuk membunuh Raihana anak kepada Halim seorang usahawan berjaya yang juga dalam senarai maut Mikhail menyebabkan nyawa Mikhail dalam bahaya kerana beliau juga akan dihapuskan oleh Mikhail yang lain.

Apa yang menarik tentang Mikhail adalah plot ceritanya yang membuatkan pembaca ingin terus membaca dan membaca sehingga persoalan teka-teki siapakah Mikhail yang sebenarnya dijawab.

Mikhail... bukan sekadar nama adalah gelaran diberikan oleh Dickens (dalang pembunuhan bersiri yang juga merupakan ahli satu kumpulan underground yang besar dan bepengaruh) kepada semua pembunuh upahan yang beliau latih. Mikhail dilatih dengan cara 'brainwash' sedari kecil dan dengan menanamkan satu misi dalam diri setiap Mikhail iaitu misi untuk membalas dendam - darah dibalas dengan darah.

Mikhail ini mempunyai persamaan ketika membuat tindakan dan ketika melakukan pembunuhan, mereka menggunakan $1USD sebagai 'killer signature'.

Secara ringkasnya, Mikhail mendedahkan senario global yang berlaku kini. Mikhail adalah kisah berkisar penguasaan oleh satu kumpulan yang ingin menguasai dunia walau dalam bentuk apa cara sekali pun. Strategi yang paling utama adalah membuat serangan ekonomi dengan melumpuhkan ekonomi negara-negara yang membangun dan berpotensi. Kuasa yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan adalah Yahudi yang merupakan dalang kepada ketidakamanan dunia sedari dulu lagi. Misi mereka cukup jelas - ingin memiliki kuasa dan wang. Dengan adanya kedua-dua faktor ini, mereka mampu untuk menakluki dunia.

Saya catatkan di sini beberapa perkara yang menarik tentang Mikhail :

1. Wang $1USD yang digunakan sebagai killer signature oleh Mikhail mempunyai rahsia tersendiri. Antaranya adalah simbol burung hantu adalah lambang sebuah kesatuan rahsia yang berpengaruh di dunia.

2. Pembunuh upahan yang dinamakan sebagai Mikhail lebih daripada seorang. Tanda pengenalan mereka adalah nombor pada akhirnya seperti Mikhail 155, Mikhail 159 dan Mikhail 153. Nombor lebih besar menunjukkan Mikhail yang baru.

3. Antara lokasi menarik dalam karya Mikhail adalah Tasik Wanaka dan Tasik Wakatipu di New Zealand.

4. Blogger Attokz Dikulgai yang ada disebutkan dalam novel ini adalah penasihat Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid - RAMFC. Laman web beliau adalah http://www.attokz.net/

5. Pengakhiran Mikhail adalah di luar jangkaan saya kerana kebanyakan karya Ramlee sebelum ini tidak memihak kepada jangkaan pembaca.

Manakala untuk tujuan peningkatan, saya catatkan di sini beberapa kesilapan teknikal yang sempat saya catatkan hasil daripada pemerhatian saya :

1. Terdapat beberapa kesalahan ejaan dan penggunaan perkataan yang tidak konsisten seperti :

a. penyengap - penyerap - ber’silencer’.
b. mengubah ditaip sebagai mengubak (mukasurat 370)
c. angka 500,000 ditaip menjadi 5,000,000 (mukasurat 460)

2. Terdapat juga ayat yang tidak lengkap atau tergantung menyebabkan konsentrasi pembacaan saya terganggu seperti :

a. “...Zetty balik ke rumah, laporan disiapkan...”(mukasurat 170)
b. “Terdapat ‘killer signature’ tempat kejadian, Inspektor Sharani?”
c. “...kedua-dua tangan tangan ditangkupkan”

3. Penggunaan perkataan ‘parkir’ dalam perbualan kurang sesuai kerana biasanya parkir disebut dengan mudah sebagai ‘parking’.

4. Kesilapan teknikal :

a. Inspektor Sharani diiringi oleh Inspektor Zetty sewaktu keluar dari mahkamah. Setahu saya di Malaysia apabila pesalah adalah lelaki maka yang mengiringnya juga mestilah lelaki bukannya perempuan.
b. Mikhail membuat penyamaran sebagai penghantar pos laju dan pada masa yang sama penyamarannya ditukar kepada pekerja penghantar piza.


Pada penghujung jalan cerita, penulis meninggalkan satu perenggan yang mengatakan "Namun, kehampaan itu tidak terlalu mendukacitakan kerana masih terdapat harapan terakhir di Malaysia - seorang Mikhail baru lebih awal bertapak di sana. Bukan sebagai seorang pembunuh tetapi jauh lebih hebat daripada apa yang disangkakan" sebagai pengakhiran yang pada pendapat saya lebih kepada persoalan - Apakah ada Mikhail yang kedua selepas ini? atau perenggan ini hanya menyatakan sikap tidak putus asa kumpulan ini yang sentiasa mencari taktik baru untuk menguasai kita.

Syabas buat Ramlee Awang Murshid dan Alaf21. Dengan mengambil kira kesilapan yang ada, adalah menjadi harapan saya agar cetakan kedua nanti lebih baik daripada yang sebelumnya.