Wednesday 20 May 2009

Rahsia Bisnes Orang Cina



Judul : Rahsia Bisnes Orang Cina
Penulis : Ann Wan Seng
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.Tebal : 115 mukasurat
ISBN : 978-983-3586-10-3

Buku “Rahsia Bisnes Orang Cina” ini adalah kepunyaan suami saya. Saya membacanya untuk dua tujuan. Pertama, saya ingin mendapatkan ilmu untuk memulakan dan mengendalikan perniagaan. Kedua, saya membaca buku ini untuk mendapatkan buah fikiran bagi membantu suami menjalankan usaha beliau dalam bidang perniagaan kecil-kecilan.

Setelah selesai membaca buku ini, saya lantas teringat sepotong hadith Rasulullah yang berbunyi “Tuntutlah ilmu walau sampai ke Negeri China”. Meski pun hadith ini diragui dan dipersoal kesahihannya, saya melihat hadith ini dari perspektif yang lain. Kejayaan orang Cina dalam menguasai bidang perniagaan di Asia Tenggara wajar kita jadikan contoh dan teladan. Mereka juga manusia biasa seperti saya dan anda semua. Cuma mungkin ada beberapa faktor penting yang membezakan kita dengan mereka. Faktor-faktor inilah yang diceritakan dengan panjang lebar dalam buku “Rahsia Bisnes Orang Cina” ini.

Buku yang hanya setebal 115 mukasurat ini, walau pun nipis tetapi padat dengan informasi bisnes orang Cina. Seusai saya membaca buku ini, pelbagai persoalan berlegar-legar di dalam minda saya sekaligus menuntut saya untuk memberikan jawapan kepada persoalan tersebut. Untuk memberikan jawapannya, saya tidak perlu pergi jauh cukup sekadar memerhati sekeliling saya dan mengajukan beberapa soalan kepada suami saya sendiri.

Melalui pembacaan buku ini, saya sedikit-sebanyak mendapat ilmu tentang dunia perniagaan. Orang Cina yang pada mulanya datang ke Tanah Melayu sebagai buruh paksa akhirnya dapat menempa nama sebagai golongan konglomerat yang berjaya. Mereka yang pada asalnya hanya membuka perniagaan untuk tujuan mengisi perut, akhirnya berjaya mengembangkan perniagaan dan seterusnya mewariskan perniagaan tersebut kepada anak cucu mereka. Persoalannya, apakah bezanya kita dengan mereka?

Orang Cina melihat dunia ini umpama lombong emas. Mereka berusaha sehabis boleh untuk menggali emas yang tersembunyi di bawah tanah dan seterusnya membawa emas tersebut keluar untuk tujuan mendapat wang dan kekayaan. Untuk menggali dan mendapatkan emas yang dimaksudkan bukanlah satu perkara yang mudah dan bukan dalam masa yang singkat. Kejayaan yang mereka kecapi kini adalah hasil usaha nenek moyang mereka yang telah datang di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka lagi.

Kalau diikutkan, masyarakat Melayulah yang sepatutnya lebih maju ke hadapan berbanding kaum lain kerana kerajaan banyak membantu dan memberi ruang kepada Melayu / Bumiputera untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan. Sudahnya, harapan hanya tinggal harapan dan masyarakat Cina terus mara ke hadapan tanpa sedikit pun berpaling ke belakang. Apa yang ada pada mereka dan tidak ada pada kita adalah kesungguhan, sikap bekerja keras, kesabaran, strategi dan pelan perniagaan jangka pendek serta jangka panjang.

Masyarakat Cina memandang tinggi kepada para peniaga dan usahawan berbanding dengan mereka yang bekerja makan gaji. Hanya melalui perniagaan seseorang itu akan berhadapan dengan dunia realiti berbanding dengan mereka yang bekerja makan gaji. Wang dan kekayaan dapat dikumpul juga hanya melalui perniagaan. Perniagaan memberikan mereka ruang untuk berkuasa dan membuat keputusan sendiri manakala makan gaji sekadar menjadi kuli membuatkan orang lain bertambah kaya. Persoalan seterusnya, kenapa wang dan kekayaan yang dicari?

Bagi orang Cina, wang dan kekayaan adalah elemen yang penting untuk meneruskan kehidupan. Keuntungan yang dikecapi bukan sahaja digunakan untuk kepentingan perniagaan tetapi juga digunakan untuk memberi sumbangan dan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Bagi mereka sebahagian keuntungan itu adalah milik masyarakat dan wajar diberikan untuk mendapat berkat. Dalam Islam, elemen ini adalah zakat. Berapa ramai antara golongan peniaga, usahawan dan konglomerat Melayu yang menunaikan zakat? Sekiranya ada, ia hanya sekadar untuk melepaskan diri daripada membayar cukai dan bukannya dengan niat yang jujur dan ikhlas.

Mencari kekayaan adalah dituntut dalam Islam sebagaimana hadith Rasulullah yang antara lain maksudnya “Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.” Hadith ini menuntut kita untuk memberikan keseimbangan dunia akhirat dan harta kekayaan yang ada hendaklah disalurkan ke jalan yang betul iaitu melalui pemberian zakat dan sedekah amal jariah.

Saya catatkan di sini beberapa perkara yang perlu kita ketahui dan ada diperkatakan dalam buku ini:

1. Orang Cina adalah bangsa yang fleksibel, mudah berubah dan menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan. Mereka akan dapat hidup dan mencari makan walau di mana sahaja mereka berada.

2. Orang Cina cepat dan cekap mendakap peluang niaga yang baharu. Kalau bapanya berniaga air di tepi jalan, maka anaknya akan membuka restoran dan barangkali cucunya akan membuka kilang menghasilkan air dalam tin.

3. Untuk berkembang, seseorang itu kena berhijrah bukan sahaja fizikal tetapi juga mental, jiwa dan pendekatan.

4. Orang Cina mempunyai persamaan iaitu mereka memiliki semangat untuk meningkatkan taraf hidup dan keyakinan pada perniagaan sebagai mekanisme bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi, peribadi, keluarga, komuniti dan bangsanya.

5. Orang Cina adalah golongan yang kuat bekerja. Mereka bekerja 16-18 jam sehari. Mereka juga tidak mudah berpuas hati. Sekiranya sampai ke satu destinasi mereka akan teruskan perjalanan untuk sampai ke destinasi yang seterusnya.

6. Orang Cina tidak suka pada sempadan dan hanya perniagaan yang dapat memberikan dunia tanpa batasan kepada mereka.

7. Orang Cina tidak suka berniaga atas angin tanpa mengeluarkan usaha dan modal.

8. Orang Cina lebih suka memilih perniagaan yang dapat memberikan mereka keuntungan yang berterusan dan untuk jangka masa yang panjang.

9. Orang Cina membahagikan keuntungan perniagaan kepada beberapa bahagian iaitu modal pusingan, simpanan di luar jangka dan untuk pelaburan.

10. Setiap perniagaan memerlukan perancangan yang teliti kemudian diuruskan dengan betul dan diusahakan dengan sepenuh hati.

11. Peniaga tulen tidak takut pada persaingan dan kerugian. Mereka tidak sepatutnya mempunyai sifat dengki dan cemburu pada peniaga lain.

12. Peniaga Cina menggalakkan persaingan kerana persaingan meningkatkan kecekapan, produktiviti, kemahiran, kreativiti dan memberi banyak pengalaman yang berguna.

13. Orang yang menang tidak semestinya mendapat segalanya dan yang kalah pula tidak bermakna ia hilang semuanya.

14. Peniaga Cina mengamalkan konsep menang-menang dengan pesaing dan pelanggan.

15. Perniagaan orang Cina berkonsepkan simbiosis iaitu saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain kerana peniaga saling memerlukan antara satu sama lain.

16. Dunia perniagaan orang Cina tidak boleh menerima peniaga jenis ‘kulat’ dan ‘cendawan’. Bagi mereka golongan peniaga sebegini tidak boleh diiktiraf sebagai peniaga dan usahawan kerana peniaga dan usahawan sepatutnya menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang tinggi supaya terus berniaga tanpa mengira musim.

17. Peniaga Cina mempunyai kredibiliti tinggi dengan mengutamakan perkhidmatan pelanggan yang memuaskan hati pelanggan. Bagi mereka ‘pelanggan adalah raja’.

18. Untuk berjaya kita mesti mengambil risiko. Pepatah Cina ada mengatakan “Jika terlalu berhati-hati akan mati”.

19. Orang Cina diasuh sejak kecil untuk berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain.

20. Peniaga tidak seharusnya menjadi pengikut tetapi sebaliknya berusaha menjadi pemimpin dalam bidangnya.

Terdapat banyak lagi informasi yang perlu kita ketahui tentang bisnes orang Cina yang diperkatakan dalam buku ini termasuklah tip bisnes orang Cina yang disebutkan satu-persatu dalam bab akhir iaitu Bab 32.

Dari sudut persembahan penulisan pula, saya catatkan di sini beberapa perkara yang perlu diperbaiki untuk tujuan peningkatan :

1. Buku ini sangat padat dengan isi cuma apa yang kurang menarik adalah kekurangan contoh seperti menyebutkan bagaimana tokoh konglomerat Cina mencipta nama dalam dunia perniagaan atau contoh-contoh peristiwa yang boleh dikaitkan dengan mesej yang hendak disampaikan.

2. Lebih menarik lagi sekiranya buku ini turut diselitkan dengan unsur humor dengan memaparkan karikatur pada setiap permulaan atau akhir bab.

3. Terdapat beberapa perkara yang kerap kali diulang dan ini menimbulkan rasa bosan untuk terus membaca.

4. Untuk mudah dibaca ada baiknya juga perkara-perkara penting dicatatkan dalam bentuk yang tersusun (‘point form’).

Buku ini wajar dimiliki dan dibaca oleh anda yang ingin membuat perubahan dalam hidup anda dengan cara menceburkan diri dalam dunia perniagaan, tidak kiralah anda menganggur atau pun sedang bekerja makan gaji. Mungkin ramai yang ingin terus merasa selesa dengan apa yang ada lantas mengatakan adalah bodoh dan tidak patut memulakan perniagaan dalam krisis ekonomi meleset seperti sekarang, tetapi perlu diingat bahawa perniagaan yang besar dan gah berdiri yang boleh kita lihat kini adalah dimulakan dengan perniagaan kecil-kecilan sahaja, tidak akan ada seribu langkah perjalanan jika tidak dimulakan dengan satu langkah.

Tidak ada perniagaan yang tidak melibatkan risiko. Apa yang penting adalah perancangan kewangan dan strategi serta pelan tindakan yang diperincikan agar perniagaan terus berkembang dengan mengambil kira keuntungan jangka pendek dan jangka panjang. Mulakanlah dengan perancangan untuk mendapat keuntungan yang sedikit tetapi berterusan berbanding dengan mendapat keuntungan yang besar tetapi hanya bertahan untuk sementara waktu sahaja.

Semoga berjaya!