Thursday 25 June 2009

Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu



Judul : Kritikan Sastera Melayu : Antara Cerita dengan Ilmu
Pengarang : Ungku Maimunah Mohd. Tahir
Terbitan : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Halaman : 81
Tahun : 2007
Harga : RM15.00
Pengulas : Muhammad Ikhram Fadhly Hussin

Kritikan Sastera Melayu : Antara Cerita dengan Ilmu menjadi petunjuk kepada pengkritikan sastera lama dan baharu tanah air dalam menelusuri dan menghakimi karya sastera. Buku yang dibentangkan bersempena “Syarahan Perdana Professor” di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 30 November 2007 yang lalu begitu bermakna terhadap dunia kritikan sastera Melayu yang dilihat semakin sepi.

Relatifnya, pengarang berjaya menajamkan mata, membuka telinga dan mencambahkan minda para sarjana tanah air dan peminat sastera serta para pengikut perkembangan teori dan kritikan sastera menerusi kajian terbaharunya ini. Pengarang mendedahkan kemandulan pemikiran pengkritik sastera yang menerima bulat-bulat kerangka dari Barat sebagai alat untuk menjana karya sastera tempatan. Pengarang turut menyatakan ketidakpuasan hatinya apabila pengkritik sastera tempatan masih lagi memfokuskan penelitian tentang cerita, dan mengetepikan aspek ilmu sebagai ukuran utama.

Menurut pengarang, Islam dan barat merupakan faktor utama yang mempengaruhi kegiatan penulisan di rantau ini. Faktor keduanya, tradisi persuratan Melayu-Islam begitu jelas menjadikan ilmu sebagai tonggak “pekerjaan kalam”, sedangkan unsur ilmu atau didaktik tidak pula diperuntukkan kedudukan yang sama dalam tradisi Barat. Berdasarkan kajian dan penelitiannya, pengarang mendakwa bahawa karya kreatif Melayu lebih sendeng kepada tradisi sastera Barat, sama ada dari segi konseptual mahupun praktiknya.

Dunia kritikan tanah air yang telah mencapai usia yang mapan sepatutnya mempunyai landasan yang jelas, iaitu ilmu sebagai ukuran utama. Oleh hal yang demikian, pendekatan Persuratan Baru yang digarap oleh Mohd. Affandi Hassan dilihat begitu tepat dalam mengisi ruang kosong tersebut. Polemik Persuratan Baru sudah lama menimbulkan kekecohan setiap kali perbincangan mahupun perdebatan mengenainya. Kerangka kritikan karya ini telah “menjamah” dan “memamah lumat-lumat” karya oleh nama-nama besar sasterawan tanah air sebelum menolaknya untuk dilabelkan sebagai karya besar, yakni yang berilmu.

Karya sastera hari ini dilihat “kering” apabila meminggirkan aspek faedah dan ilmu dalam kepengarangannya. Persoalannya, adakah iklim sedemikian mampu memastikan kemunculan karya-karya besar yang memperlihatkan ketinggian ilmu, keutuhan pemikiran dan meningkatkan martabat kepujanggaan pengarang Melayu?

Menurut pendekatan Persuratan Baru, karya sastera yang dianggap berilmu perlu sarat dengan gagasan, idea, buah fikiran atau hujahan, hasil daripada fahaman yang jitu dan mendalam. Hal ini, mencakupi hujahan, taakulan, debat, penjelasan, sanggahan, huraian, analisis, olahan, kupasan dan sebagainya.

Pengarang turut meneliti empat aliran kritikan yang mendominasi laman kritikan sastera tempatan. Aliran ini walaupun berbeza lahiriahnya, batiniahnya tetap sama dan tidak mampu untuk merubah implikasi peminggiran pertimbangan ilmu dalam karya kreatif dan sentuhan kritikan sastera. Aliran yang dikemukakan itu mencakupi aliran yang paling digemari, iaitu menyentuh komponen dalaman dan memakai formula tema dan struktur, konteks kelahiran karya, aplikasi kerangka teori luar, khususnya Barat, dan yang terakhir pemakaian kerangka teori tempatan janaan para sarjana sastera tanah air yang lebih adil dalam menghakimi karya tempatan.

Kritikan dengan menggunakan kerangka tema dan struktur dikatakan lebih bersifat memberikan gambaran dan tidak analitis. Kritikan sastera Melayu dikatakan berlegar pada tahap cerita apabila dalam kalangan bukan orang sastera seperti bidang ekonomi, sains politik, komunikasi, sosiologi, undang-undang dan pengajian Islam turut menceburi bidang ini. Menurut pengarang, dengan hanya berbekalkan fahaman mengenai cerita secara harfiah, tanpa pengetahuan formal dalam bidang kesusasteraan, kritikan yang dihasilkan jelas tertumpu pada aspek cerita sahaja.

Kelahiran pelbagai jenama teori tempatan dilihat semakin mengabsahkan dan memperkukuhkan kedudukan cerita. Oleh sebab itu pengarang telah menunjukkan jalan keluar dengan memperagakan Persuratan Baru sebagai satu pendekatan. Pengarang meletakkan pendekatan ini sebagai anjakan radikal dalam mencorakkan kesusasteraan baharu tanah air dengan mengangkat martabatnya sebagai karya persuratan.

Pengarang turut membincangkan perbezaan konsep mengikut kerangka Persuratan Baru antara ilmu dengan cerita, persuratan dengan sastera, dan pengarang dengan sasterawan. Persuratan Baru tampil untuk membendung kealpaan yang berlarutan, mengembalikan warisan yang dikesampingkan dan meletakkan karya seni pada tempat yang sewajarnya sebagai santapan minda dan rohaniah demi pembinaan modal insan yang berilmu. Pengarang menyarankan agar para penulis dan pengkritik menjadi pemikir dan ilmuwan bangsanya, iaitu orang yang bijaksana dan sanggup serta bersedia untuk menatang ilmu dengan jujur, berani dan bertenaga.

Pengarang menukilkan bahawa karya yang dihasilkan perlulah “diketahui oleh segala anak cucu kita… (dan) beroleh faedahlah ia daripadanya” seperti yang tercatat dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang yang masyhur itu. Begitu juga dengan pepatah Melayu yang mengatakan “Apa tanda Melayu jati? Dalam pantun (baca karangan) ilmu digali; Apa tanda Melayu terbilang? Dalam pantun (baca karangan) ilmu dituang.” Tegasnya, soal tugas dan tanggungjawab penulis dan peri pentingnya melestarikan ilmu untuk generasi seterusnya telah dibudayakan oleh pengarang Melayu beratus-ratus tahun yang lampau.

Namun buku ini pasti lebih bererti sekiranya diberikan contoh karya-karya yang hadir dalam arena sastera kita mahupun luar negara (sekiranya ada) yang menepati konsep Persuratan Baru. Penelitian secara objektif dan penghakiman yang disifatkan “berani kerana benar” dalam meneliti karya sastera melalui kerangka ini amat dituntut memandangkan dunia sastera kita kini dilihat berada pada tahap yang mendatar dan kerdil serta enggan keluar daripada kepompong gaya kepengarangan yang berkiblatkan Barat. Hal ini tentulah jauh tersasar daripada tradisi Melayu-Islam lampau yang membuahkan banyak karya besar yang menjadi magnum opus (karya agung) dan lambang ketinggian pemikiran dan mercu ketamadunan bangsa.

Sumber : Dewan Budaya Mac 2008