Wednesday 7 March 2018

Raudhah


Judul: Raudhah
ISBN: 978-983-124-0468-0
Halaman: 558
Anugerah: Penulis Pilihan 2013 Kategori Novel Fiksyen Alaf21, Anugerah Grup Buku Karangkraf

Kenapa ni Linda, asyik ulas buku tulisan Ramlee Awang Murshid saja? Mungkin ramai yang bertanya soalan ini kan? Untuk pengetahuan semua, saya memang peminat karya Ramlee Awang Murshid. Saya jatuh cinta dengan karya beliau setelah membaca Aku Darah Anak Malaysia (A.D.A.M). Sejak itu saya mencari semua novel beliau dan alhamdulillah saya dapat mencari dan membeli karya beliau yang terawal termasuklah Igauan Maut, Anugerah Pertama dan Pei Pan. Sudah lama saya berehat membaca buku dan sekarang saya mulakan semula semestinya dengan pembacaan novel-novel karya Ramlee Awang Murshid yang saya tidak baca lagi. Banyak rupanya saya tidak baca lagi, maksudnya saya sudah berehat bertahun-tahuan, alamak!!! Baiklah, kita tinggalkan pasal tu, kita teruskan dengan Raudhah :)

Raudhah mengisahkan Joker iaitu Faris seorang contract killer atau pembunuh upahan yang ingin bertaubat. Faris menyesali segala perbuatannya membunuh semata-mata untuk mendapatkan bayaran yang lumayan. Faris diupah oleh pemegang kontrak pembunuhan tersebut yang menggelar dirinya sebagai White. White menghubungi Faris menggunakan email sebagai langkah berjaga-jaga supaya tidak dikesan oleh pihak polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). White mengarahkan Faris untuk membunuh mereka yang mempunyai jenayah kolar putih. Sebab itu kes Joker ini diklasifikasikan sebagai jenayah berprofil tinggi.

Identiti Faris sebagai Joker telah dibocorkan sedari awal oleh Ramlee manakala identiti White hanya diketahui pada pertengahan pembacaan. "Motivasi" pembacaan saya pada awalnya adalah untuk mengetahui siapa sebenarnya White. Adakah Michael Wan, seorang ahli perniagaan yang terkenal yang merupakan Presiden Kesatuan Shinjue, sebuah kesatuan rahsia yang berpengaruh yang berusaha merubah hala tuju pentadbiran negara atau Sandy, teman wanita Michael atau Tok Chai? Dengan pendedahan identiti White pada pertengahan cerita sedikit sebanyak menurunkan tahap motivasi saya untuk meneruskan pembacaan. Begitu juga dengan kematian satu-persatu watak-watak "ganas" seperti Michael Wan, Brendan Cheung, Joseph (mantan Presiden Shinjue yang saya kira ingin merebut semula jawatan) dan Bisca (seorang pegawai polis yang mengambil alih penyiasatan kes Joker setelah Azhar digantung tugas kerana gagal menyelesaikan kes Joker) menjadikan Raudhah seperti anti-klimaks. 

Faris yang buta agama mendapatkan bantuan sahabatnya Hambali untuk membimbingnya kembali ke jalan Allah namun perjalanan taubat Faris bukanlah suatu yang mudah kerana White mengarahkan Faris untuk membunuh. Fikiran Faris berkecamuk - membunuh bermaksud dia kembali kepada jalan dosa. Faris enggan membunuh kali ini tapi White mengugut Faris - membunuh atau dibunuh dan White juga turut mensasarkan Hambali sekiranya Faris gagal melaksanakan tugasannya kali ini. Faris mengambil keputusan untuk melindungi Hambali daripada White dan merancang untuk membunuh White sebelum White bertindak. White telah mengupah sekumpulan gengster untuk membunuh Faris dan Hambali namun berjaya ditumpaskan oleh Faris tapi sejurus selepas itu Faris jatuh pengsan dan terus berada dalam koma selama tiga bulan. Kisah Faris sebagai Joker adalah thriller dalam Raudhah.

Raudhah lebih ditunjangi kisah pengabdian seorang hamba kepada Tuhannya. Faris sesungguh hati ingin bertaubat nasuha. Apabila Faris sedar dari koma, Faris mendapat tahu bahawa jantungnya gagal berfungsi dan telah digantikan dengan jantung mekanikal namun Faris mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan jantung mekanikal menyebabkan dia koma agak lama. Faris sedar dari koma kerana dia telah menerima jantung Hambali yang mati akibat kemalangan (angkara White). Pemergian Hambali sangat memberi kesan kepada Faris. Faris mengerjakan umrah di Mekah dan seterusnya mencari Raudhah di Madinah. Nasib tidak menyebelahi Faris, Faris dituduh membunuh Aboyami semasa dia berada di Madinah dan gagal untuk mendapatkan kemaafan Habibah, balu Aboyami. Faris bersumpah bahawa dia tidak membunuh Aboyami namun Faris tetap dijatuhi hukuman pancung sebagaimana termaktub dalam hukum hudud. Faris mengisi hari-hari sebelum hari dia dipancung dengan mengerjakan solat taubat dan mengaji al-Quran. Faris bersedia untuk kembali kepada Allah.

Raudhah memaparkan kisah cinta islami, pencarian jalan pulang seorang hamba yang sesat. Di dalam pencarian jalan pulang itu terdapat pelbagai cabaran. Namun dengan bersangka baik dengan Allah yang Maha Pengampun, Allah memberikan hidayah kepada hamba-Nya walau dengan apa cara dan bagaimana sekali pun, mengikut kehendak-Nya termasuklah ketika seseorang itu berada dalam keadaan koma.

Apa yang menarik tentang Raudhah adalah penceritaan Ramlee tentang taubat, Mekah dan Madinah. Raudhah, taman-taman syurga di Madinah merupakan tempat di mana insha-Allah doa akan dimakbulkan sekiranya si pemohon doa benar-benar berhajat. Atas sebab itu juga Hambali menggelar tunangnya Junaidatul Al-Fatiah Elias sebagai Raudhah.

Saya rasa seperti "Tipah tertipu" apabila dalam bahagian akhir Raudhah, Ramlee membongkarkan kisah sebenar peristiwa selepas Faris jatuh pengsan dan jantungnya tidak berfungsi selama tiga minit yang mana secara fitrahnya Faris telah dikira "mati" - plot twist.

Thriller dalam Raudhah sangat sederhana, hanya untuk menggambarkan Faris seorang yang banyak dosa. Raudhah lebih bertemakan islami dan cinta, cinta hamba kepada Pencipta-Nya, Faris ingin mencari Tuhannya.

Selamat membaca Raudhah!



Tips:
Mulakan pembacaan novel dengan membaca sinopsis dan ruangan Tinta Penulis terlebih dahulu untuk mengetahui apa yang hendak disampaikan oleh penulis. Biasanya persoalan pembaca tentang "kenapa" ada dikongsikan oleh penulis dalam ruangan ini.